Anak Kelaparan, Ayah Tiada Duit Terpaksa ‘Korban’ Kasut, Dibarter Dengan Susu

Buntu dan tidak tahu di mana lagi hendak mencari duit, seorang bapa telah membuat tawaran untuk menukarkan sepasang kasut miliknya dengan sekotak susu untuk anaknya yang berusia satu tahun.

Lelaki yang berasal dari Solo, Indonesia itu memuatnaik kiriman di Facebook dan menawarkan kasut kesayangannya dengan menegaskan bahawa dia tidak mahu menjual tetapi sebaliknya menukarkannya dengan susu.

“Maaf, saya tidak menjual, saya hanya mahu menukar. Sekiranya ada yang berminat dengan kasut kulit jenama draxvil bersaiz 41, saya meminta untuk ditukarkan dengan susu Dancow 1 kg.

Gambar Via Kumparan

“Jangan tanya harga sebab saya tidak menjualnya tetapi melakukan pertukaran sahaja,” kata lelaki itu di Facebook.

Tawarannya itu menjadi tular sehingga mendapat perhatian Ketua Polis Solo, Kombes Pol Ade Safri Simanjuntak. Difahamkan, Safri telah mengarahkan anggotanya untuk mencari pemilik akaun Facebook itu dan memberikan bantuan kepadanya.

Gambar Via Solopos

“Pemilik akaun tersebut adalah Ari Prasetyo iaitu penduduk di Mutihan, Laweyan, Solo.

“Dia mempunyai tiga orang anak dan bekerja dalam perkhidmatan pembersihan,” kata wakil Ketua Polis, Uki.

Tambahnya, Ari menawarkan untuk menukar kasut terpakai itu kerana dia tidak mempunyai duit untuk membeli susu.

“Kami telah memberikan bantuan susu kepada anak bongsunya,” katanya.

Ari meluahkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang prihatin terhadap nasibnya.

Catat Ulasan

0 Ulasan